Ramai yang mungkin tidak kenal apa itu Karas atau Depu, tetapi bila sebut sahaja Gaharu, ianya tidak perlu diperkenalkan lagi.Penggunaannya amat meluas dalam industri haruman dan perkakasan ibadat pelbagai agama di seluruh dunia sekali gus manjadikan permintaan terhadapnya tinggi.
“Pokok Karas memerlukan lebih kurang 50 tahun untuk menghasilkan gaharu bermutu tinggi,” kata Dr. Abas Alias dari Fakulti Perhutanan Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.
“Pun begitu, hanya satu hingga sepuluh peratus sahaja pokok karas hutan akan menghasilkan gaharu, sebab itulah ianya sangat sukar didapati dan bernilai tinggi,” tambah beliau.
Karas adalah nama bagi sejenis tumbuhan malar hijau yang cepat tumbuh. Berbatang lurus menjulang ke langit, tetapi tidak begitu tinggi. Biasanya pucuk pokok karas berada di lapisan kanopi kedua di antara pokok-pokok hutan lain. Umurnya boleh mencecah sehingga 100 tahun.
Terdapat pelbagai spesis pokok karas di Malaysia. Salah satu yang terkenal adalah dari keluarga ‘Aquilaria’ seperti Aquilaria Malaccensis, Aquilaria Beccariana, Aquilaria Hirta, Aquilaria Microcarpa’ dan Aquilaria Rostrata.
Manakala gaharu itu sebenarnya adalah bongkah atau kepingan beresin atau berdamar yang diperolehi hasil daripada tindakbalas yang berlaku dalam pokok Karas.
Secara mudah, boleh dirumuskan bahawa gaharu adalah hasil tindak balas imun pokok daripada jangkitan penyakit dan kulat. Pokok yang cedera menyebabkan ia terdedah kepada jangkitan mikrob.
Pokok yang berimun lemah menyebabkan penyakit terbentuk pada pokok seterusnya menyebabkan pembentukan gaharu daripada nutrien pokok.
“Resin yang terhasil dari proses ini mengandungi bahan sari atau resapan berbau wangi. Itulah yang kita panggil sebagai Gaharu’” kata beliau lagi.
POTENSI PASARAN
Turut dikenali sebagai ‘Kayu dari Tuhan(Wood of God)’ atau ‘Emas Hitam (Black Gold)’, harga untuk teras Gaharu di pasaran tempatan adalah di antara RM 1,000 hingga RM 25,000 sekilogram.
Selain dijual dalam bentuk teras kayu, ia juga boleh diekstrak untuk dijadikan pati minyak dan boleh dijual di antara harga RM 350 hingga RM 1200 setola (1 tola = 12 ml).
Jika dijual dalam bentuk ketulan kayu (wood chip), ia boleh dijual dari harga RM 4 hingga RM 350 sekilogram.
“Yang membezakan harga antara produk-produk Gaharu adalah gred dan mutu produk tersebut’” kata Abas.
Pada waktu ini, pasaran Gaharu dunia hanya dapat menampung 20 peratus daripada permintaan sebenar, menjadikannya satu bidang yang boleh menjanjikan pendapatan lumayan kepada mereka yang mengusahakannya.
Walaupun hanya memenuhi satu per lima dari permintaan, transaksi pasaran dunia bagi industri Gaharu bernilai kira-kira RM 200 juta dan dikatakan berpotensi untuk berkembang sehingga RM 3 bilion jika mampu memenuhi keperluan pasaran.
NASIB GAHARU TEMPATAN
Abas berkata, walaupun terdapat peluang yang sangat luas dalam industri ini, masih ramai yang tidak mengambil kesempatan sebaiknya.
Sedihnya, pokok Karas diancam kepupusan akibat beberapa sebab. Spesis Aquilaria Rostrata yang dinobat mampu menghasilkan gaharu yang terbaik berbanding mana-mana spesis lain dikatakan sudah pupus sepenuhnya hari ini.
Antara ancaman besar adalah penuaian pokok yang terlalu berleluasa, teknik penuaian yang merosakkan pokok, kemerosotan kualiti alam semulajadi dan yang paling menyedihkan adalah banyak hasil gaharu yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat negara ini telah dicerobohi dan dicuri oleh negara jiran.
PERLADANGAN GAHARU DEMI MENYELAMATKAN KHAZANAH NEGARA
Di seminar yang sama, Dr. Yumi Zuhanis Has-Yun Hashim dari UIAM membentangkan bahawa dari faktor geografi, banyak pokok Karas secara kebetulan berada di dalam kawasan Taman Negara.
Pun begitu ia tidak dapat melindungi pokok Karas daripada ancaman kepupusan seluruhnya. Jesteru perladangan pokok Karas adalah salah satu usaha nyata yang boleh diambil untuk menyelamatkan khazanah negara.
Beliau yang merupakan salah satu daripada tenaga dalam Kumpulan Peneyelidik Oud UIAM menjalankan kajian untuk mempelbagaikan produk bersumberkan Gaharu.
GAHARU DALAM PERUBATAN
Yumi berkata, Gaharu mempunyai pelbagai potensi selain hanya digunakan dalam bidang wangi-wangian.
“Kami sedang mengenal pasti potensi Gaharu untuk digunakan dalam bidang perubatan,” kata beliau.
Menurut beliau lagi, produk terapi kesihatan daripada sumber alami semakin mendapat tempat di hati pengguna kerana dianggap lebih selamat.
Pelbagai kajian telah dijalankan di serata dunia ke atas pelbagai bahan-bahan bersumber alami untuk mengetahui farmakologinya terhadap sesuatu penyakit untuk mencipta terapi bagi penyakit-penyakit berkenaan.
“Bahan aktif yang dicari daripada tumbuhan-tumbuhan ini dikenali sebagai ‘secondary metabolites’,” ujarnya.
Berdasarkan catatan perubatan tradisional dan kajian moden, sumber-sumber dari pokok Karas sememangnya sudah ada sejarah perubatan yang baik di pelbagai tempat terutamanya di Asia, dimana pokok itu mudah didapati.
Dalam pembentangannya, beliau memfokuskan potensi Gaharu dalam tiga bidang perubatan iaitu pencegahan dan terapi iaitu kanser, keradangan, dan jangkitan kuman.
Dipetik dari BERNAMA